Wednesday, 29 May 2013

TIPS MEMILIH KAIN LANGSIR

Tidak dinafikan peranan langsir dalam dekorasi rumah kediaman amat penting. Jika dahulu langsir hanya dianggap sebagai pendinding yang menghalang cahaya matahari, namun kini langsir menjadi antara peranan utama dalam menghasilkan gaya hiasan dalam sesebuah kediaman. Lantaran itu, anda disarankan agar memilih kain langsir yang betul bagi mencipta suasana keselesaan di rumah anda.  


1)      TENTUKAN BAJET
Terdapat pelbagai jenis dan rekaan corak langsir di pasaran. Ada yang murah dan ada juga yang mahal bergantung kepada jenis dan kualiti kain langsir berkenaan. Namun, semuanya terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Apa yang patut diberi tumpuan adalah langsir tersebut bertepatan dengan tema rumah anda dan cukup dengan peruntukan yang disediakan.     



2)      BUAT UKURAN DAN PILIH REKAAN
Selesai menentukan kain langsir mengikut kehendak anda, langkah seterusnya adalah mengukur dimensi tingkap atau pintu gelongsor (sliding door) anda dengan betul. Gunakan pita pengukur atau tali untuk mengukur panjang dan lebar bahagian tersebut. Sekiranya anda tidak pasti, dapatkan bantuan pembantu jualan untuk membuat ukuran dan memilih rekaan terkini. Mereka yang arif dalam perkara ini pasti dapat menyelesaikan kekeliruan anda.

3)      PILIH CORAK DAN WARNA YANG SESUAI
Jika hiasan dalaman rumah anda bertemakan sesuatu yang ringkas dan kemas, pilih corak abstrak atau corak yang terhad. Corak bermotifkan bunga-bungaan misalnya mampu menghasilkan elemen segar dan harmoni. Warna kain langsir turut menyumbang impak besar kepada ruang kediaman anda.

Oleh itu, anda harus bijak memilih warna yang sesuai. Kebiasaannya, warna-warna gelap seperti hitam akan membuatkan ruang rumah anda kelihatan kecil dan padat. Manakala warna cerah dan terang pula akan menghasilkan ruang yang lebih luas. Paling utama, corak dan warna langsir anda perlu selari dengan warna perabot dan hiasan lain.

4)      AKSESORI TAMBAHAN
Penggunaan aksesori tambahan seperti labuci dan manik merupakan rekaan kain langsir masa kini. Tujuannya untuk memberi kesan dramatik kepada hiasan dalaman rumah anda. Pilih yang bersesuaian dengan cita rasa anda. Alat pengikat langsir yang menarik dan mempunyai pelbagai bentuk juga boleh dipadankan bersama bagi menaikkan lagi seri kediaman.  


No comments:

Post a Comment